Mempunyai anak sebagai penyejuk mata adalah naluri yang Allah anugerahkan pada setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Namun pada hakikatnya tidak semua pasangan yang berkahwin akan dikurniakan hadiah ini. Sepuluh hingga 15% dari pasangan akan mengalami kesukaran untuk hamil dan memerlukan bantuan dari pakar perubatan.
Masyarakat sering mengaitkan kesuburan atau kemandulan disebabkan oleh wanita dan tidak hairanlah jika pasangan wanita yang belum lagi hamil setelah beberapa ketika berkahwin, perkara yang sering dilakukan oleh ibu atau mertua adalah membawa anak/menantu perempuannya berurut terlebih dahulu. Manakala jika berjumpa doktor biasa akan memberi ubat subur untuk pasangan wanita sebagai penggalak kesuburan.
Sebagai pakar reproduktif saya ingin mengubah paradigma pemikiran dan tindakan dalam berhadapan situasi ini. Ubat subur seperti clomid sepatutnya diberikan untuk kes di mana wanita tidak mengeluarkan telur secara teratur atau jika semua ujian pada kedua dua pasanagn telah terbukti normal; itu pun untuk tempoh yang singkat sahaja. Para doktor masih perlu mengambil riwayat (history taking) yang mendalam termasuk riwayat hubungan seksual. Antara pemeriksaan asas yang diperlukan adalah ultrasound pada wanita untuk melihat anatomi sistem reproduksi, ujian asas hormon seperti hormone pertumbuhan folikel (Follicle Stimulating Hormone), hormone pengluteinan (Luteinizing Hormone), dan ujian midluteal progesterone.
Dari pengalaman saya ramai yang melambatkan atau tidak melakukan ujian analisa air mani si suami, sedangkan ini adalah ujian asas yang perlu dilakukan kerana hampir 40% dari punca tidak subur adalah disebabkan oleh masalah pada lelaki. Dari pengalaman saya juga kebanyakan pasangan yang telah diberi kaunseling yang baik tentang punca-punca ketidaksuburan akan bekerjasama untuk ujian ini; hanya sebahagian kecil sahaja lelaki yang berkeras tidak mahu membuat ujian analisa air mani. Dari ujian analisa air mani kita dapat menentukan samada ianya normal, kurang atau tiada benih dan seterusnya rawatan khusus akan dapat diberi kepada suami.
Tiada sperma?
Ada sebahagian kecil pesakit yang apabila ujian analisa air mani dibuat, keputusan yang didapati adalah tiada sperma atau dalam istilah perubatannya azospermia. Ujian ini perlu diulangi untuk pengesahan dan jika 2 sampel berturut-turut mengesahkannya, maka rawatan selanjutnya akan diberi. Saya ingin berkongsi cerita sedih dan gembira saya dalam mengendalikan kes-kesazospermia.
Kes 1
Puan ST dan pasangannya NP adalah anak kepada seorang jururawat yang bertugas di hospital saya. Pada suatu hari beliau telah membawa anaknya berjumpa dengan saya. Apabila saya berjumpa dengan anaknya, belum sempat saya berbuat apa-apa atau bertanya beliau telah menangis teresak-esak. Rupa-rupanya mereka telah 4 tahun berkahwin dan setelah berjumpa doctor, mereka dimaklumkan bahawa tiada harapan untuknya mengandung memandangkan suaminya tidak mempunyai sperma dalam ujian analisa air mani.
Dalam keadaan seperti ini saya terangkan pemeriksaan yang rapi perlu diadakan pada pasangan lelaki di samping ujian-ujian spesifik seperti ujian hormon, ujian ultrasound meneliti kantung zakar dan ujian kromosom. Disamping itu, pengulangan ujian analisa air mani adalah perlu. Satu ujian melibatkan air kencing selepas pemeriksaan air mani juga mesti dibut untuk menentukan jika ada sperma yang terkumpul dalam pundi kencing (retrograde ejaculation).
Seterusnya pesakit akan menjalani ujian diagnosa secara pembedahan kecil pada kantung zakar (PESA/TESE). Pembedahan kecil ini akan mengambil sampel dari saluran epididimis dan seterusnya jika tiada sperma, tisu testis akan diambil sedikit untuk mengenalpasti kehadiran spermatozoa matang.
Alhamdulillah pada pesakit ini telah didapati terdapat sejumlah sperma yang mencukupi dan boleh disimpan (cryopreserved) untuk kegunaan kemudian. Bertolak dari situ kaunseling tentang prosedur tabung uji diberi kepada pasangan dan seterusnya mereka menjalani prosedur tersebut. Dengan izin Allah SWT si isteri telah berjaya mengandung dan meneruskan jagaan antenatal di Kuala Lumpur kerana mereka berkhidmat di sana.
Beberapa hari lepas saya mendapat pesanan dari jururawat yang pasangan ini ingin menunjukkan zuriat mereka yang telah mereka nantikan dengan sabar. Aisyah Humaira seindah nama diberi dibawa berjumpa dengan pasukan kami yang juga dikenali sebagai team IVF lantaran tugas kami mengendalikan masalah ketidaksuburan, sebagai tanda ingatan.
Kes 2
Pasangan MM dan ZZ masing-masing berusia 33 tahun telah 7 tahun berumahtangga dan mereka berjumpa dengan saya pada satu sesi forum awam yang dianjurkan oleh hospital. Mereka telah maklum tentang punca tidak subur iaitu keadaan azospermia yang dialami oleh Encik ZZ melalui 2 sampel air mani yang diadakan beberapa tahun lepas. Mereka tidak pernah dirujuk berjumpa mana-mana pakar oleh doktor yang memeriksa.
Dari riwayat yang diambil Encik ZZ memaklumkan bahawa beliau mempunyai masalah di mana testis atau zakar tidak berada di kantungnya tetapi sebaliknya berada di ari- ari. Pemeriksaan menunujukkan bahawa beliau mengalami Undecsended Testis dan kedua-kedua kelenjar testis boleh dirasai pada bahagian pangkal paha atau lebih tepat, inguinal.
Ujian ultrasound mengesahkan terdapat kelenjar menyerupai testis pada bahagian inguinalmanakala ujian hormon menunjukkan nilai FSH dan LH yang sangat tinggi (>40 miu/ml). Dalam keadaan seperti ini di mana testis atau zakar tidak berada di tempatnya testis akan terdedah kepada suhu badan yang tinggi dan akan mengalami kegagalan.
Dari pengalaman saya jika nilai hormon FSH adalah sangat tinggi adalah mustahil untuk menjumpai sperma matang. Saya merasa simpati dengan pasangan ini kerana saya tidak dapat membantu mereka mendapatkan zuriat sendiri. Saya juga merasa simpati kerana beliau tidak pernah dikesan mengalami masalah Undecsended Testis dan dirujuk untuk menjalani prosedur pembedahan sewaktu masih kecil.
Namun tugas kita tidak berhenti setakat simpati lalu saya membincangkan pilihan yang ada dari sudut masa depan reproduksi samada kekal tanpa zuriat atau berusaha mendapatkan anak angkat. Pasangan ini positif untuk mendapatkan anak angkat dan tugas saya pada tahap ini adalah sebagai pemudah cara dengan cara menulis surat kepada bahagian kebajikan masyarakat dan memberi sokongan dari sudut fakta perubatan.
Sebenarnya banyak perkara yang dapat dipelajari bila berhadapan dengan kes kes seperti ini. Saya berpegang kepada prinsip Our Patients Are Our Book. Pengajaran yang dapat kita ambil dari 2 kisah ini;
1. Menanamkan kesabaran kepada pesakit yang mengalami masalah kesuburan kerana ianya adalah penyakit dan dugaan Allah. Tiupkan ibrah atau pengajaran dari kisah Nabi Zakaria alahissalam yang tidak pernah putus asa mendoakan supaya dikurniakan zuriat. Pada masa yang sama pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan awal. Apabila disebut awal maknanya selepas setahun mencubadan bukan seperti yang sering dirujuk kepada saya; selepas 5 ke 10 tahun berkahwin. The earlier a couple seeks for treatment the better outcome.
2. Masalah kesuburan adalah masalah bersama lelaki dan wanita dan ianya bukan disebabkan oleh wanita sahaja. Justeru pemeriksaan dan ujian yang dibuat mesti melibatkan kedua dua pasangan. Statistik menunjukkan cara hidup sekarang seperti kahwin lambat, merokok, obesiti dan tekanan hidup menurunkan kesuburan pada kedua dua wanita dan lelaki. Ujian analisa air mani adalah ujian yang senang untuk dilakukan namun jika terdapat keabnormalan dan diberi rawatan bersesuaian ianya akan memberi peluang kehamilan yang paling tinggi untuk wanita dibandingkan dengan penyebab-penyebab yang lain.
3. Bagi pesakit yang ujian analisa air mani menunjukkkan tiada sperma jangan sesekali mengatakan ia tiada peluang untuk hamil sebaliknya rujuklah kepada pakar reproduktif/IVF untuk membuat pengesahan tentang kehadiran sperma melalui ujian pembedahan kecil. InsyaAllah jika sperma dijumpai peluang adalah cerah bagi mereka menimang cahaya mata
4. Kuasa manusia tidak dapat menyaingi kudrat dan penyusunan Allah. Allah berfirman dalam Al Quran yg maksudnya ada pasangan yang dianugerahkan anak lelaki, sementara yang lain anak perempuan atau kedua-duanya manakala ada yang dibiarkan mandul. Kepandaian manusia tidak boleh menjadikan mereka ego dan tidak tunduk pada peraturan Allah. Di negara barat kes-kes tiada sperma akan menggunakan sperma dermaan yang bebas dari sesiapa sahaja tetapi bagi kita pengamal perubatan Muslim yang beretika dan tunduk kepada tadbir Allah kita mesti mematuhi peraturan nasab dan keturunan bagi menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat amnya.
5, Sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan supaya kita dapat memberi rawatan yang terbaik dan terkini pada pesakit kita. Sentiasalah bersifat itqan (melakukan sesuatu dengn penuh komitmen) dalam amalan seharian
Semoga bermanafaat untuk para pembaca
Dr Murizah Mohd Zain
Pakar Perubatan Reproduktif Hospital Sultanah Bahiah, Alor Setar
Dan
Ahli Majlis Wanita ISMA
No comments:
Post a Comment